Search This Blog

Saturday, August 28, 2010

ISU PEMBUANGAN BAYI

PENGENALAN




Malaysia dengan bangganya menuju kearah sebuah negara alaf baru yang berorientasikan sains dan teknologi. Namun mereka alpa dengan perkembangan sosial terhadap masyarakat di negara ini. Hari demi hari masyarakat disajikan dengan pelbagai bentuk berita berkenaan kes pembuangan bayi. Isu ini telah menimbulkan perasaan bimbang dalam kalangan masyakat. Saban hari terdapat laporan berkenaan pembuangan bayi diserata tempat seperti di dalam tandas, tong sampah, di tepi longkang, dan sebagainya. Berita pembuangan bayi yang dipercayai baru dilahirkan yang ditemui di tempat tumpuan awam bukanlah isu baru. Isu ini kembali mendapat tempat di beberapa media massa setelah lama tidak kedengaran berlakunya kes-kes sebegini rupa. Perbuatan membuang bayi di merata-rata tempat dan menjadi mangsa binatang buas adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan.

Apa yang membimbangkan ialah bilangan kes pembuangan bayi dalam kalangan remaja wanita semakin meningkat,malah ia semakin meruncing sejak akhir-akhir ini. Perbuatan pembuangan bayi yang baru lahir dalam apa keadaan sekalipun dan ia mengakibatkan kematian bayi tersebut sebenarnya adalah satu pembunuhan. Sesiapa sahaja yang membuang bayi itu atau terlibat dengan perbuatan tersebut adalah melakukan pembunuhan dan salah dari segi agama dan tindakan undang-undang akan diambil. Kejadian yang semakin bercelaru dan menjajah pemikiran golongan generasi muda ini dibimbangi akan terbawa-bawa kepada peningkatan jenayah di peringkat yang lebih serius seiring dengan usia mereka.

Melihat kepada senario hari ini, jenayah yang merupakan implikasi dari keruntuhan jiwa dan akhlak akan menyebabkan terlahirnya masyarakat yang melanggar norma-norma agama dan masyarakat itu sendiri. Masalah jenayah pembuangan bayi harus ditangani segera sebelum ia merebak menjadi masalah sosial dalam negara mahupun dalam kalangan masyarakat itu sendiri. Oleh itu,semua pihak haruslah berganding bahu mencari jalan penyelesaian untuk menangani masalah yang semakin membimbangkan hari demi hari. Tambahan pula, jenayah seksual semakin ketara sekarang ini, malah ianya melibatkan mereka yang berada di bangku sekolah iaitu merupakan golongan yang akan mewarisi negara ini.

FAKTOR BERLAKUNYA PEMBUANGAN BAYI

1.Kurangnya Kefahaman Agama Dalam Kalangan Masyarakat

-Tidak dapat dinafikan bahawa kesedaran agama dalam kalangan anggota masyarakat pada hari ini begitu memberangsangkan tetapi semangat itu tidak menyeluruh terutamanya dalam kalangan remaja

-Kekurangan didikan agama yang merupakan panduan dan pedoman hidup menyebabkan remaja hilang haluan dalam kehidupan lalu terlibat dalam gejala negatif, antaranya ialah pergaulan bebas.

-Remaja mudah terperdaya untuk melakukan maksiat tanpa mengambil kira dosa atau pahala.

-remaja yang hilang pegangan agama akan menjadi tidak berperikemanusiaan lalu meninggalkan anak yang baru dilahirkan di tempat- tempat seperti tandas awam, tong sampah, tepi longkang dan sebagainya



2. Pengaruh Rakan Sebaya

-Pada usia muda, remaja amat mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya mereka. Hal ini bertambah teruk apabila mereka hergaul dengan rakan sebaya yang negatif

-rakan-rakan yang negatif ini akan mengajak remaja untuk melakukan perkara di luar batasan agama dan norma masyarakat, contohnya pergi ke tempat hiburan seperti disko, menghisap dadah dan melakukan pergaulan bebas

-apabila remaja terjerumus dalam kancah-kancah negatif seperti ini, secara tidak langsung mereka akan melakukan seks rambang dan akhirnya menemui jalan buntu apabila mendapati bahawa dirinya mengandung. Dalam keadaan yang terdesak, mereka terpaksa membuang bayi mereka tanpa rasa tanggungjawab.



3. Sikap Masyarakat yang Suka Mengkritik dan Menghukum

-Sesetenggah masyarakat memandang kotor orang yang melakukan dosa seperti zina, pembuangan anak, dan sebagainya

-Apabila seseorang remaja perempuan melahirkan anak luar nikah, sudah pastinya masyarakat setempat akan menghina dan memandang serong terhadap remaja tersebut.

-mereka yang terjerumus ini akan menganggap diri mereka tidak lagi diterima oleh ahli masyarakat.

-demi menjaga imej sendiri dan juga keluarga, remaja tersebut akan mengambil jalan mudah dengan membuangkan bayinya daripada dipandang jijik oleh masyarakat


4. Keruntuhan Institusi Kekeluargaan

-Definisi keluarga itu tidak semestinya hanya keluarga terdekat tetapi turut merujuk kepada sanak-saudara, jiran tetangga serta masyarakat setempat,

-Gejala sosial yang berlaku pada hari ini adalah antara tanda-tanda yang menunjukkan bahawa masyarakat Islam sudah mula tidak mengambil berat tentang betapa pentingnya institusi kekeluargaan.

-keadaan ini berlaku apabila ibu bapa tidak memainkan peranan yang penting dalam membina sebuah keluarga yang sakinah.

-ibu bapa terlalu sibuk dengan pembangunan, mengejar kebendaan sehingga mereka lupa akan tanggungjawab sebenar dalam membina satu keluarga yang bahagia

-Remaja yang kurang kasih sayang ini akan cuba mencari orang lain untuk mandapatkan keseronokan. Dengan ini secara tidak langsung, mereka akan terjebak dengan masalah gejala sosial dan seterusnya menyumbang kepada masalah pembuangan bayi.



5.Penyajian Hiburan Tanpa Batas

- Penayangan filem-filem yang berunsur lucah, penjualan cd-cd lucah, penyebaran gambar lucah di dalam internet tanpa kawalan menjadi pemangkin pada penzinaan.

-Maka dari penzinaan tanpa segan silu ini, secara tidak langsung akan melahirkan anak-anak luar nikah yang dibuang merata-rata tempat, yang kadang kala mati menjadi habuan binatang-binatang liar.

-Manusia sudah tidak lagi malu sesama manusia, yang lebih malang, manusia sudah tidak malu kepada Penciptanya.





ZINA bukan kesudahannya…..



ZINA adalah permulaannya……

KESAN PEMBUANGAN BAYI



Pembuangan bayi dalam kalangan remaja pada hari ini akan memberi kesan dan impak

yang begitu besar dalam masyarakat. Remaja merupakan aset utama Negara pada masa akan datang, memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara. Kesanjangka panjang dan jangka pendek pasti akan berlaku seandainya remaja pada hari ini tidak tahu bagaimana untuk membentuk dan memuliakan akhlak mereka.

Kesan –kesan pembuangan bayi boleh diklasifikasikan kepada beberapa bahagian seperti kesan kepada bayi, ibu yang melahirkan, keluarga remaja perempuan yang terlibat dalam pembuangan bayi, kesan kepada masyarakat dan juga kesan kepada negara kita sendiri.

Bayi merupakan anugerah Tuhan yang paling berharga kepada pasangan suami isteri tetapi bayi juga menjadi bebanan kepada pasangan-pasangan kekasih yang telah

terlanjur dan tidak bersedia memikul tanggungjawab di usia yang masih mentah iaitu

usia remaja. Akibat daripada tiada perikemanusiaan, bayi telah menjadi mangsa dan

kesannya mereka hidup tanpa mengenal ibu bapa kandung.


KESAN KEPADA BAYI

i) Mereka juga mungkin terpaksa memikul gelaran anak luar nikah walaupun mereka tidak berdosa..

ii) Apa yang lebih teruk, bayi-bayi ini mati akibat daripada perbuatan yang

dilakukan oleh manusia yang tidak mempunyai hati nurani kerana bayi-bayi ini dibuang di tempat yang tidak sepatutnya diduduki oleh bayi yang masih lemah dan kecil, misalnya dibuang di tandas, rumah kosong, sungai, longkang, tong sampah atau rumah ibadat. Selain itu,tempat-tempat tumpuan awam seperti gerai makan, stesen kereta api dan pintu pagar klinik kesihatan turut menjadi pilihan.

.



KESAN KEPADA IBU BAYI

i) Dipandang serong oleh masyarakat disebabkan kesempitan hidup wanita yang hamil tanpa nikah ini biasanya dihantui perasaan takut dan malu serta kemungkinan disisihkan oleh keluarga dan kawan-kawan

ii) Kesan dari sudut perubatan adalah pesalah akan mengalami jangkitan kuman, kecederaan sewaktu bersalin dan juga kehilangan darah kerana tidak berada dalam jagaan yang sebenar. Majoritinya mereka melahirkan sendiri tanpa pertolongan pihak hospital mahupun orang lain.

iii) Selain itu, kesan dari segi psikologi dan sosial adalah pesalah akan mengalami kemurungan, hilang keyakinan diri, rasa bersalah, resah dan juga masalah emosi.

Hal ini akibat daripada perbuatan mereka sendiri yang sememangnya salah dari segi undang-undang agama dan negara.


KESAN KEPADA KELUARGA

i) keruntuhan institusi kekeluargaan akibatnya wujud ketidakharmonian dalam kekeluargaan. Hal ini disebabkan, ibu bapa berasa malu mempunyai anak sebegitu. Bahkan, keluarga itu iaitu pastinya diperkatakan oleh jiran sekeliling menyebabkan mereka malu untuk bergaul dengan orang ramai lagi.

ii) Mungkin juga akan wujud penceraian kerana ibu menyalahkan bapa, bapa menyalahkan ibu tersebut kerana tidak pandai memelihara anak-anak sehingga menconteng arang di muka mereka. Oleh itu masa depan anak - anak akan terbiar dan tidak terpelihara sekiranya ibu bapa bercerai.


KESAN KEPADA NEGARA

i) Kerancakan pembangunan Negara akan terbantut dan pertumbuhan ekonomi Negara juga sukar berkembang kerana wujud masalah sosial.

ii) Perbelanjaan kerajaan akan turut meningkat untuk menampung bayi yang akan diletakkan di rumah kebajikan masyarakat

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI PEMBUANGAN BAYI

Gejala pembuanagan bayi semakin mendapat perhatian pelbagai pihak.Gejala yang merunsingkan ini perlu di cegah segera.Antara langkah-langkah mengatasi seperti penglibatan pihak Kementeriaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan tempat-tempat perlaindunagan untuk meletakkan bayi tersebut.Sehingga kini Kementerian mempunyai 55 buah institusi kebajikan, 104 buah Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah dan 55 buah Klinik Nur Sejahtera yang bersedia menerima bayi-bayi tersebut yang memerlukan perlindungan.Tindakan selanjutnya perlu diambil terhadap bayi-bayi yang terlibat dengan kes pembuangan bayi berdasarkan peruntukan di bawah kanak-kanak 2001 melalui Program Anak Pelihara.Wujudnya rumah-rumah pengasih serta rumah kebajikan seperti ini dapat mengurangkan kes-kes pembuangan bayi yang berlaku setiap hari.

Langkah seterusnya ialah pelaksanaan undang-undang terhadap mereka yang melakukan kesalahan membuang bayi.Undang-undang di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 317 menyatakan ibu bapa yang terlibat dalam melakukan pembuangan bayi boleh didakwa dan jika disabit kesalahan hukuman penjara maksimum 7 tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali kini telah ditambah kepada pesalah yang melakukan perbuatan tersebut akan dikenakan penjara selama 30 tahun.Ini jelas menunjukkan pelaksanaan undang-undang yang lebih berat perlu dilaksanakan dengan segera kerana undang-undang yang digunakan sekarang seolah-olah tidak dipedulikan.Sebagai contoh,hukuman sebat dikhalayak ramai yang dicadangkan oleh masyarakat terhadap mereka yang membuang bayi ini dijalankan kerana sikap mereka yang tidak berperikemanusiaan membuang sehingga menyebabkan kematiaan tidak dapat dimaafkan.Oleh itu,pelaksanaan undang-undang yang berat perlu dilaksanakan.

DIDIKAN IBU BAPA DAN GOLONGAN DEWASA

Dalam kes pembuangan bayi yang berada pada paras yang agak membimbangkan, ibu bapa memainkan peranan mereka dalam memberikan didikan dan panduan kepada anak-anak. Perkara ini akan menghalang para remaja daripada terjebak dalam gejala yang tidak bermoral ini. Para ibu bapa perlu memberi tunjuk ajar yang sewajarnya kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi mengenai cara hidup, cara berpakaian dan sebagainya umpama peribahasa “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” . Seterusnya, tunjuk ajar yang diberikan oleh para ibu bapa kepada anak-anak mereka secara langsung membentuk sikap dan tingkah laku mereka. Dengan ini, kita dapat membendung kes pembuangan bayi yang semakin mendadak di negara kita sehingga ke akar umbi.Sementelahan pula, para dewasa yang tergolong dari guru, mentor dan sebagainya perlu berganding bahu dalam memberi tunjuk ajar dan nasihat kepada para remaja yang berada di luar rumah atau pengawasan ibu bapa. Hal ini akan menghalang para remaja daripada terjebak dalam segala gejala-gejala negatif seperti bohsia, pergaulan bebas dan sebagainya yang merupakan faktor utama kepada kes pembuangan bayi di Malaysia.Oleh itu, didikan ibu bapa dan dewasa memang penting dalam isu ini yang merupakan penentu masa hadapan para remaja di negara kita.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, setiap warga masyarakat tanpa mengira kaum haruslah bersatu padu menggembleng tenaga mencegah dan membanteras supaya penyakit sosial ini tidak menular dengan lebih serius. Pihak atasan seperti badan-badan kerajaan dan kerajaan juga perlu lebih peka dan menganjurkan pelbagai ceramah atau motivasi kepada remaja supaya mereka mendapat pelbagai informasi berkenaan gejala ini dan sedar akan kesan daripada perbuatan tidak bermoral itu. Dengan usaha-usaha yang dilakukan secara bersama dan menyeluruh ini, sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah ini daripada terus menjadi satu penyakit berbahaya di negara Malaysia ini. Tiada siapa yang patut menunding jari kepada pihak yang lain, kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat.

Menurut Hall (1904),usia remaja adalah masa yang penuh dengan kekeliruan ,kesedihan dan konflik. Oleh itu, adalah penting bagi orang dewasa khususnya ibu bapa, pendidik dan ahli masyarakat untuk mengikuti perkembangan remaja, mereka patut membantu golongan remaja agar mengelakkan diri daripada terjebak dengan kegiatan negatif. Sekiranya mengabaikan dan tidak peduli kepada perilaku dan akhlak remaja, maka dengan sendirinya akan lahirlah remaja bermasalah. Sebagai contohnya, Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa golongan yang menjadi fokus dan sasaran utama sejarah pembinaan akhlak dan budi pekerti adalah golongan remaja atau muda-mudi.

Kita harus sedar dan yakin bahawa cara tindakan menyelesaikan masalah mengikut pendekatan agama lebih berkesan dan berterusan memberikan ketenangan kepada golongan remaja berbanding dengan cara tindakan umum atau tidak menggunakan pendekatan agama. Pada masa yang sama, pendekatan kaunseling dan nasihat juga perlu bergerak seiring supaya nilai-nilai keagamaan sentiasa subur di sanubari anak-anak remaja.

Hakikatnya, segenap lapisan masyarakat harus bersatu-padu dan mengaplikasikan pelbagai pendekatan dalam menyelesaikan masalah gejala sosial ini. Setiap individu termasuk ibu bapa perlu peka dan memainkan peranan khususnya dalam memastikan anak-anak tidak terjebak dengan gejala sosial yang merosakkan masa depan mereka. Cabaran menangani gejala sosial terutama yang melibatkan kes pembuangan bayi semestinya diberi perhatian yang lebih besar dan memandang serius masalah ini. Justeru, sesuatu perlu dilakukan sebelum ia menjadi penyakit sosial yang sukar untuk diubati, secara tidak langsung akan mencemarkan nama negara di mata dunia. Tambahan pula, akan menggaggu pembangunan negara ke arah sebuah negara maju menjelang tahun 2020, kerana golongan remaja dan muda-mudi yang akan menentukan arah dan merialisasikan misi tersebut kerana mereka merupakan pewaris negara pada masa akan datang