Search This Blog

Saturday, August 28, 2010

KESIMPULAN

Kesimpulannya, setiap warga masyarakat tanpa mengira kaum haruslah bersatu padu menggembleng tenaga mencegah dan membanteras supaya penyakit sosial ini tidak menular dengan lebih serius. Pihak atasan seperti badan-badan kerajaan dan kerajaan juga perlu lebih peka dan menganjurkan pelbagai ceramah atau motivasi kepada remaja supaya mereka mendapat pelbagai informasi berkenaan gejala ini dan sedar akan kesan daripada perbuatan tidak bermoral itu. Dengan usaha-usaha yang dilakukan secara bersama dan menyeluruh ini, sedikit sebanyak dapat mengurangkan masalah ini daripada terus menjadi satu penyakit berbahaya di negara Malaysia ini. Tiada siapa yang patut menunding jari kepada pihak yang lain, kerana setiap daripada kita adalah merupakan ahli masyarakat.

Menurut Hall (1904),usia remaja adalah masa yang penuh dengan kekeliruan ,kesedihan dan konflik. Oleh itu, adalah penting bagi orang dewasa khususnya ibu bapa, pendidik dan ahli masyarakat untuk mengikuti perkembangan remaja, mereka patut membantu golongan remaja agar mengelakkan diri daripada terjebak dengan kegiatan negatif. Sekiranya mengabaikan dan tidak peduli kepada perilaku dan akhlak remaja, maka dengan sendirinya akan lahirlah remaja bermasalah. Sebagai contohnya, Rasulullah SAW telah menunjukkan bahawa golongan yang menjadi fokus dan sasaran utama sejarah pembinaan akhlak dan budi pekerti adalah golongan remaja atau muda-mudi.

Kita harus sedar dan yakin bahawa cara tindakan menyelesaikan masalah mengikut pendekatan agama lebih berkesan dan berterusan memberikan ketenangan kepada golongan remaja berbanding dengan cara tindakan umum atau tidak menggunakan pendekatan agama. Pada masa yang sama, pendekatan kaunseling dan nasihat juga perlu bergerak seiring supaya nilai-nilai keagamaan sentiasa subur di sanubari anak-anak remaja.

Hakikatnya, segenap lapisan masyarakat harus bersatu-padu dan mengaplikasikan pelbagai pendekatan dalam menyelesaikan masalah gejala sosial ini. Setiap individu termasuk ibu bapa perlu peka dan memainkan peranan khususnya dalam memastikan anak-anak tidak terjebak dengan gejala sosial yang merosakkan masa depan mereka. Cabaran menangani gejala sosial terutama yang melibatkan kes pembuangan bayi semestinya diberi perhatian yang lebih besar dan memandang serius masalah ini. Justeru, sesuatu perlu dilakukan sebelum ia menjadi penyakit sosial yang sukar untuk diubati, secara tidak langsung akan mencemarkan nama negara di mata dunia. Tambahan pula, akan menggaggu pembangunan negara ke arah sebuah negara maju menjelang tahun 2020, kerana golongan remaja dan muda-mudi yang akan menentukan arah dan merialisasikan misi tersebut kerana mereka merupakan pewaris negara pada masa akan datang

No comments:

Post a Comment