Search This Blog

Saturday, August 28, 2010

ISU PEMBUANGAN BAYI

PENGENALAN




Malaysia dengan bangganya menuju kearah sebuah negara alaf baru yang berorientasikan sains dan teknologi. Namun mereka alpa dengan perkembangan sosial terhadap masyarakat di negara ini. Hari demi hari masyarakat disajikan dengan pelbagai bentuk berita berkenaan kes pembuangan bayi. Isu ini telah menimbulkan perasaan bimbang dalam kalangan masyakat. Saban hari terdapat laporan berkenaan pembuangan bayi diserata tempat seperti di dalam tandas, tong sampah, di tepi longkang, dan sebagainya. Berita pembuangan bayi yang dipercayai baru dilahirkan yang ditemui di tempat tumpuan awam bukanlah isu baru. Isu ini kembali mendapat tempat di beberapa media massa setelah lama tidak kedengaran berlakunya kes-kes sebegini rupa. Perbuatan membuang bayi di merata-rata tempat dan menjadi mangsa binatang buas adalah satu jenayah yang amat zalim dan keji serta lebih hina tarafnya daripada haiwan.

Apa yang membimbangkan ialah bilangan kes pembuangan bayi dalam kalangan remaja wanita semakin meningkat,malah ia semakin meruncing sejak akhir-akhir ini. Perbuatan pembuangan bayi yang baru lahir dalam apa keadaan sekalipun dan ia mengakibatkan kematian bayi tersebut sebenarnya adalah satu pembunuhan. Sesiapa sahaja yang membuang bayi itu atau terlibat dengan perbuatan tersebut adalah melakukan pembunuhan dan salah dari segi agama dan tindakan undang-undang akan diambil. Kejadian yang semakin bercelaru dan menjajah pemikiran golongan generasi muda ini dibimbangi akan terbawa-bawa kepada peningkatan jenayah di peringkat yang lebih serius seiring dengan usia mereka.

Melihat kepada senario hari ini, jenayah yang merupakan implikasi dari keruntuhan jiwa dan akhlak akan menyebabkan terlahirnya masyarakat yang melanggar norma-norma agama dan masyarakat itu sendiri. Masalah jenayah pembuangan bayi harus ditangani segera sebelum ia merebak menjadi masalah sosial dalam negara mahupun dalam kalangan masyarakat itu sendiri. Oleh itu,semua pihak haruslah berganding bahu mencari jalan penyelesaian untuk menangani masalah yang semakin membimbangkan hari demi hari. Tambahan pula, jenayah seksual semakin ketara sekarang ini, malah ianya melibatkan mereka yang berada di bangku sekolah iaitu merupakan golongan yang akan mewarisi negara ini.

No comments:

Post a Comment